Selamat Datang

Selamat Datang

Pengenalan

Program Kesedaran Alam UKM-MNS adalah satu program yang menyediakan peluang pembelajaran berdasarkan pengalaman (experiential learning) yang dapat meningkatkan kompetensi generik dan kebolehpasaran pelajar UKM melalui khidmat keterlibatan belia terhadap alam sekitar dan masyarakat. Program ini telah dikendalikan oleh Pusat Kemudahan Hutan Simpan Kekal, Fakulti Sains & Teknologi UKM, Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI) dan Pejabat Hubungan Universiti-Masyarakat (PHUM) bermula pada akhir tahun 2011 bersama dengan NGO alam sekitar iaitu Malaysian Nature Society.  Program Perintis Kesedaran Alam UKM-MNS telah dijalankan pada tahun 2012 sebagai pilot project bagi inovasi program alam sekitar yang efisien dan berkesan kepada generasi muda. Program ini telah dijalankan selama 20 hari dengan penglibatan 24 peserta UKM. Hasil daripada program perintis ini, beberapa siri perbincangan antara UKM dan MNS telah membawa kepada persetujuan untuk melaksanakan Program Kesedaran Alam pada awal tahun 2013 di Taman Alam Kuala Selangor. Program ini telah dijenamakan dengan nama baru iaitu SEE Nature. Singkatan nama projek SEE merujuk kepada ’Seek, Embrace and Educate Nature’ iaitu memerhati, menikmati dan mendidik alam. Penstrukturan semula modul turut dilaksanakan bagi menjamin pengisian modul selari dengan objektif program SEE Nature. Selain itu, melalui kerjasama daripada Pusat Sistematik Serangga UKM (CIS) telah menambah lagi mutu program dengan pemindahan ilmu daripada pakar serangga dan biodiversiti kepada peserta. Kempen Kesedaran Alam turut dilaksanakan bersempena dengan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia, di mana peserta dapat menyampaikan ilmu kepentingan alam kepada pelajar sekolah. Melalui Program SEE Nature 2013 di Kuala Selangor ini, ahli projek telah mengadakan Bengkel Pemantapan Modul untuk memastikan jaminan kelestarian bagi program ini terlaksana. Hasil daripada Bengkel ini, ahli projek telah bersetuju untuk memperluaskan jaringan kerjasama dengan NGO lain iaitu Global Environment Centre (GEC) dan Sahabat Hutan Bakau (SHB). Konsep yang sama cuba dilaksanakan di Kuala Gula dan dilaksanakan dalam jangka masa yang singkat (3 hari 2 malam) bagi melihat keberkesanan program di Kuala Gula. Penambahan modul sosio-ekonomi melalui keterlibatan pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan telah membantu kefahaman pelajar UKM dalam memahami kemandirian (survival) manusia pada hari ini bergantung penuh kepada keseimbangan ekosistem flora dan fauna menerusi penyelidikan dan penerokaan terhadap alam sekitar. Ini sekaligus, mampu memupuk  rasa cinta  pelajar dan masyarakat akan keindahan dan kebergantungan manusia kepada kepelbagaian biologi ini. Justeru, program SEE Nature perlu diteruskan lagi pada tahun 2014 dan tahun-tahun seterusnya.

OBJEKTIF
A)    Memupuk peribadi mulia dan memperkembangkan daya intelek serta  melahirkan hubungan interaksi yang sihat dengan pihak industri, agensi NGO dan masyarakat luar.
B)    Menyediakan medium kepada ahli kelab berkaitan usaha penyampaian ilmu kepelbagaian biologi dan pemuliharaan alam sekitar.

C)    Mengembangkan kompetensi generik pelajar universiti sebagai persediaan kepada dunia pekerjaan.

No comments:

Post a Comment