Selamat Datang

Selamat Datang

Sunday 9 August 2015

Seek Day 1







                             Pemandangan matahari terbit dari  Kuala Gula Sanctuary Resort.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah sudah masuk hari kedua kami berada di Kuala Gula Sanctuary Resort dan sudah semestinya kami menantikan pengisian yang menarik serta mengujakan disepanjang hari ini. Pada sesi pagi, kami telah di sajikan perkongsian tentang hutan paya bakau oleh Dr. Wan Juliana. Beliau merupakan seorang yang pakar dalam bidang ini kerana kajian beliau menjurus ke arah ini. Antara perkongsian menarik yang di kongsi adalah tentang ekosistem bakau yang sangat kaya dengan pelbagai kehidupan misalnya ikan, siput dan sebagainya. Walaupun pada mata kasarnya pokok bakau kelihatan serupa, namun sebenarnya ia adalah spesies yang berbeza dan kita dapat membezakannya daripada segi morfologi, seperti bentuk dan saiz daun, buah dan bunga yang turut berbeza. Keistimewaan pokok bakau ialah dapat beradaptasi dengan keadaan ekstrem misalnya kemasinan air yang melampau. Selain itu, hutan bakau merupakan habitat bagi pelbagai hidupan serta pemegang karbon yang lebih tinggi iaitu enam kali ganda jika dibandingkan dengan hutan biasa.

                                           Kawasan Hutan Paya Bakau

Di samping itu, kami turut melakukan pemerhatian burung di sepanjang sungai Kuala Gula. Kami telah diberi pendedahan tentang cara untuk pengecaman spesies dengan cara mencatatkan ciri-ciri burung seperti paruh, warna badan, ekor dan sebagainya. Sepanjang perjalanan ini kami telah berjaya mencerap beberapa spesies burung seperti Stork-billed Kingfisher, Great Egret, Little Egret, Collared Kingfisher, dan sebagainya.

Collared Kingfisher

Pada waktu malam kami telah menaiki bot menyelusuri sungai Kampung Dew bagi pemerhatian kelip-kelip.  Kami sangat teruja untuk melakukan aktiviti ini kerana ini merupakan pengalaman pertama bagi kebanyakan peserta. Hanya satu perkataan yang boleh diungkapkan, ‘SubhanAllah” hebat sungguh kekuasaan Allah. Aktiviti ini mampu mendekatkan diri kami kepada Sang Pencipta dan memberi kesedaran akan pentingnya memelihara setiap kejadian yang telah diciptakan. Setiap kejadian itu mempunyai hikmah di sebaliknya yang perlu kita kaji dan kita ketahui.

Sungai Kampung Dew


Alam sekitar  tanggungjawab kita bersama. Tidak pernah terlambat untuk kita memulakan sesuatu langkah. Kitalah penggerak dan penentu masa hadapan. Jangan biarkan generasi masa hadapan hanya mengenal tumbuhan atau haiwan melalui gambar-gambar sahaja tanpa berpeluang untuk mengenalnya secara ‘live’.

No comments:

Post a Comment